MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

MAHATHIR-DAIM: KRISIS YANG MEMBAWA PADAH?

Bersama Tarmizi Mohd Jam

Mahathir berkrisis lagi. Sama ada krisis benar atau lakonan, belum diketahui. Boleh diketahui apabila suatu jawapan secara realitinya berlaku. Hingga kini, Mahathir menafikan beliau berkrisis dengan Menteri Kewangannya, Daim Zainuddin.

Di atas pentas saf  kepimpinan Umno 2000 Mei lalu, kelihatan Mahathir-Daim akrab. Mereka intim bagaikan tiada krisis. Mungkin agaknya, krisis itu terus diselimuti dengan kain gebar “senyum” mereka ketika berdepan para perwakilan dan pihak media. Selagi, Mahathir belum berkata “nyah kamu”, maka krisis ini terus menjadi teka-teki.

Hubungan akrab dua tokoh ternama ini dikatakan “dingin”  dan mula “renggang” mutakhir ini apabila “krisis” yang digembar-gemburkan itu bermula dari satu insiden  “usaha penggabungan bank –bank Malaysia dilaksanakan”.

Review 25 Mei lalu membuat hipotesis itu berdasarkan kenyataan salah seorang rakan Daim sendiri. Dalam cadangan penggabungan bank-bank yang semuanya berjumlah 58 buah itu, Bank Negara  telah mengarahkan semua bank itu bersatu dan membentuk enam bank sahaja sebagai peneraju institusi kewangan di negara ini.

Namun begitu, tulis Simon Elegant dalam majalah berkenaan, Mahathir terpaksa membatalkan cadangan itu setelah mendapat “rayuan” beberapa orang ahli perniagaan ternama dan kemudiannya Mahathir membiarkan sahaja 10 atau lebih bank terus diwujudkan dan tidak hanya enam seperti pada cadangan awalnya.

Ini mencetuskan “kemarahan” Daim dan bermula dari sinilah, “krisis” tragic dan belum membara ini berlaku.

Menurut satu sumber,  Daim mula berang dan terus berang apabila timbul isu perlantikan Gabenor Bank Negara. Tentunya Daim “inginkan” anak emasnya yang lurus bendul itu, Mustapha Mohamad menduduki dan menguasai bank berkenaan tetapi Mahathir menampakkan kelainan dari keinginan Daim itu. Mahathir mahu yang bukan dari kafilah politik dan bukan dari kaum kerabat korporat yang bias.

Sikap Mahathir itu dikatakan  dipandang dingin oleh Daim. Mahathir lebih gembira dengan Zeti Akhtar Aziz yang pada pandangan beliau tidak memihak kepada kem politik ataupun kem korporat di negara ini.

Simon Elegant mencetuskan analisis dalam opininya itu, dengan mengaitkan kisah penguasaan akhbar The News Straits Times yang sebelum ini dikawal ketat oleh kumpulan Anwar Ibrahim. Tetapi setelah Anwar dipecat dan ditendang keluar Umno, NST dengan sekelip mata dikuasai pula oleh penyokong setia Mahathir, Abdullah Ahmad yang telah mengambil alih pentadbiran editorial.

Padahal, sebelum Anwar  “menjajah” NST, kumpulan Daim-lah yang mengawasi semua yang berlaku dalam institusi media gergasi berkenaan. “Mahathir dah tak kasi can lagi pada Daim,” sindir Simon dalam memperkuatkan hujahnya terhadap “krisis” ini.

Sementara dalam bidang korporat pula, konglomerat Renong yang terkenal dan tersohor sebagai institusi yang banyak hutang telah mengumumkan bahawa ia telah berjaya melabur dalam satu perniagaan  yang sangat strategic daripada Singapore Telecommunications. Ia sebahagian pengstrukturan semula syarikat subsidiarinya Time Dot Com.

Perkembangan dan kemajuan ini telah disifatkan oleh kebanyakan pemerhati politik sebagai kemenangan besar Daim, selaku penaung syarikat berkenaan dan satu kejayaan moral pula buat Halim Saat.

Rupa-rupanya ia tidak begitu “disenangi” oleh Mahathir pada saat-saat akhir hingga menyebabkan pelaburan Renong itu gagal dan gagal. Jika tidak kata Simon lagi, Time Dot Com pastinya akan mendapat suntikan modal dari Khazanah  iaitu sayap pelaburan kerajaan yang dipengerusikan oleh Mahathir Mohammad sendiri.

Akhirnya, insiden-insiden terdahulu yang berjaya dibungkus dengan akronim “senyum” dan “tawa” terus dihidup “busuknya”. Krisis terus tercetus apabila Mahathir bertindak melantik Mohamad Yaakob sebagai Penasihat Khas Ekonomi Perdana Menteri.  Jawatan itu pada asal kejadiannya tidak pernah wujud sama sekali. Malah ada yang optimis memberikan pendapat, “kununnya” jawatan itu memang tidak perlu diwujudkan atas apa jua alas an sekalipun.

Sekali lagi Simon mengungkapkan “krisis” itu sebagai “Mahathir dah tak kasi can pada Daim”.

Dengan insiden ini, Daim sudah dilihat seolah-olah tidak mampu dan kurang upaya untuk menjadi penasihat ekonomi kepada Mahathir lagi. Sekaligus, menidakkan “kehebatan” Daim yang selama ini dicanang-canangkan sebagai tokoh yang “geliga” dan memiliki “lampu ajaib” dalam pengurusan ekonominya.

Jadi apa lagi makna kata-kata “umpan” Daim sebaik sahaja menyertai kabinet Mahathir buat kali keduanya setelah berundur sekejap (1984-1991). Daim pernah berkata “penyertaannya kali ini hanyalah untuk membantu negara keluar dari krisis ekonomi dan dia mahu kembali berniaga secepat yang mungkin”.

Mungkin sudah tiba giliran Daim berkrisis dengan Mahathir. Jika benar mereka berkrisis, Mahathir sudah tidak dapat lagi “membendung” perangai buruknya dalam memenuhkan album koleksi musuhnya dalam politik di negara ini.

Soalnya, benarkah Daim kini “renggang” dan bakal mencipta musuh dengan Mahathir? Atau, itu hanya “lakonan” baru yang dicipta Mahathir setelah terbukti “lakonan” Ling Liong Sik berjaya meraih menerima Anugerah Pelakon Lelaki Cina Terbaik untuk alaf baru ini!

 

 counter.bloke.com